Apa nasib Bukit Saga selepas ini?

Bantahan demi bantahan sudah disuarakan oleh aktivis dan kumpulan pendaki ke atas projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang didakwa akan menjejaskan kawasan pendakian popular Bukit Saga di Cheras.

Salah satu kumpulan yang lantang menyatakan mesej bantahan ke atas usaha ini adalah Jawatankuasa Bertindak Save Green Lungs yang dipimpin aktivis alam sekitar, Jessy Phuah.

jajaranPhuah menggerakkan kempen melalui satu laman petisyen, yang berjaya mengutip lebih 10,000 tandatangan.

Petisyen berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Selangor pada pertengahan bulan lalu.

Reaksi daripada kerajaan negeri setakat ini pula tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa projek lebuh raya itu akan dihentikan.

Menurut Menteri Besar Selangor Azmin Ali jumlah keluasan rizab hutan di negeri itu pada masa ini masih melebih kuota 30 peratus yang ditetapkan.

Katanya, Selangor memiliki kawasan seluas 250,129 hektar hutan simpan – 31.5 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan negeri itu.

Tambahnya, kerajaan negeri juga hanya akan membenarkan pembalakan untuk tujuan membina infrastruktur awam seperti pengangkutan, kemudahan air dan elektrik.

“Kebenaran melakukan pembalakan pembalakan tersebut hanya diberikan berdasarkan pada syarat-syarat yang cukup ketat,” katanya seperti dipetik dalam laporan media hari ini.

Secara tidak langsung, ucapannya itu menjawab kebimbangan dari kumpulan aktivis seperti Phuah yang turut membangkitkan mengenai isu pembalakan.

Dalam petisyen yang digerakkannya, Phua mengemukakan lapan alasan penting, antaranya agar kawasan Bukit Saga dikekalkan sebagai kawasan riadah, untuk mengelak banjir dan krisis air.

Turut dibangkitkan adalah janji kerajaan Pakatan Rakyat yang memimpin Selangor sebelum ini untuk lagi tidak membina lebuh raya bertol.

Kawasan yang akan turut terlibat dalam projek pembinaan tersebut adalah Bukit Apek, Bukit Ketumbar dan Bukit Saga yang merupakan kawasan pendakian popular hujung minggu bagi warga Lembah Kelang.

 


Anda ingin menambah maklumat ke dalam laporan ini? Tinggalkan ulasan di ruangan komen.

Comments

comments