Pembikin filem ini cari apa di Terengganu?

 

Apa yang berlaku bila pembikin filem pergi ke Terengganu untuk mengesan artifak visual dan lisan daripada rakaman Munshi Abdullah?

Hasilnya boleh dilihat dalam treler filem Kisah Pelayaran ke Terengganu yang baru dimuatkan di Internet semalam.

Melalui treler ini kita dapat mengesan bunyi-bunyian aneh, visual segar dan orang-orang yang berkisah mengenai perkara yang tidak pernah kita dengar.

Bunyi-bunyian treler filem terbitan Da Huang Pictures ini dihasilkan oleh kumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka Dirgahayu.

Menurut Amir, beliau memutuskan untuk pergi ke Terengganu pada awal tahun ini selepas menyedari bahawa itu adalah satu-satunya negeri yang tidak pernah dilawatinya.

“Jadi saya memutuskan untuk pergi ke sana untuk membuat satu dokumentari mengenai perihal bahawa saya tidak pernah pergi ke sana,” tulisnya di Facebook.

Pengarah bersama untuk doko ini adalah seorang lagi anak muda, Badrul Hisham Ismail yang meningkat popular melalui filem realis seperti The Tailor of Pertama (2012).

“Saya bertanya Badrul Hisham sekiranya dia mahu mengarah bersama. Ini sebelum saya tahu bahawa beliau berasal dari Terengganu,” katanya.

Sebelum penggambaran bermula, Amir berkata beliau meneliti Kisah Pelayaran Abdullah, terutama mengenai persinggahan Munshi Abdullah dan awak-awaknya di Terengganu.

Rakaman itu dikembangkannya menjadi skrip sepanjang 10 halaman

Filem yang bakal ditayangkan pada bulan Julai itu kini sedang dipersiap untuk adunan bunyi di peringkat pascaproduksi.

“Suntingan akhirnya dijangka siap menjelang Mei,” kata Amir yang popular dengan beberapa filem kontroversi sebelum ini, termasuk Lelaki Komunis Terakhir (2006).

 

Comments

comments