Apa beza blockade Temiar dengan Standing Rock?

Oleh Salhan K Ahmad

Suasana di kem Oceti Sakowin, di kawasan rizab Orang Asal Amerika di Standing Rock pada hari Ahad lalu tidak ubah seperti satu pesta keraian.

Ribuan orang membentuk bulatan tiga lapis dan menari kegembiraan. Kem tersebut merupakan salah satu dari nadi utama yang menggerakkan protes ke atas projek paip minyak kontroversi Dakota Access Pipeline.

Lautan manusia dari 350 suku kaum asal Amerika itu berhimpun di kawasan terpencil di North Dakota itu untuk menyatakan bantahan mereka ke atas projek berkenaan.

Warga ini menyifatkan projek paip minyak itu sebagai seekor “ular hitam” yang harus diperangi “bermati-matian” kerana dibimbangi akan mencemarkan sumber air dan memusnahkan kawasan tanah suci mereka.

Setiap hari, ratusan kereta memasuki kawasan kem Oceti Sakowin. Golongan yang bersetiakawan bersama warga ini adalah aktivis perubahan iklim, selebriti dan juga ribuan veteran perang AS.

Veteran perang itu merupakan benteng terakhir yang mempertahankan kumpulan penunjuk perasaan tersebut daripada tindakan pihak berkuasa.

Bantahan itu bermula pada April lalu dengan 200 warga asal Amerika. Paip berkenaan melalui kawasan tanah yang dianggap suci oleh suku Standing Rock Sioux.

Walau dibantah warga Orang Asal, kor kejuruteraan tentera AS tetap meluluskan projek itu untuk melalui kawasan kontroversi. Seterusnya, Orang Asal berkenaan mengemukakan saman, yang kini masih berlarutan di mahkamah.

Semenjak itu, berita mengenai projek Dakota Access dan protes tersebut menerima perhatian meluas dalam laporan berita dan media sosial di AS.

Syarikat pengusaha projek paip minyak itu pula berkeras untuk tidak mengubah jajaran, dan jumlah individu yang menyertai bantahan di Standing Rock semakin meningkat.

Suasana tegang itu memuncak pada 20 November lalu apabila polis menggunakan meriam air dan menembak peserta dengan peluru getah.

Kor kejuruteraan tentera AS juga muncul untuk menyuraikan peserta protes. Tindakan ini disambut dengan kemunculan ribuan veteran tentera yang menjadi benteng mempertahankan warga asal berkenaan.

Dan pada hari Ahad lalu, barulah masyarakat Orang Asal ini mereka menerima berita baik bahawa pentadbiran Barack Obama mengumumkan keputusan memihak kepada Standing Rock Sioux untuk menghalang projek berkenaan.

Namun, warga ini masih sangsi. Seorang pemimpin mereka, Carole Standing Elk berkata beliau tidak akan meraikan keputusan itu dengan terburu-buru.

“Saya tidak mudah percaya. Kata-kata memang senang diucapkan kepada rakyat dan kemudian ditarik balik.

“Saya akan tunggu hingga saya lihat sendiri (keputusan) di tangan saya,” kata Carole seperti dipetik dalam laporan media tempatan.

Di negeri balik sini pula, kita dapat melihat perkembangan berbeza. Orang Asli Temiar yang mendirikan sekatan bagi menghalang pembalakan di kawasan hutan simpan di pedalaman Gua Musang ditangkap.

Isu yang dikemukakan oleh masyarakat Orang Asal ini juga sama dengan kebimbangan oleh warga Orang Asal di Standing Rock.

Mereka tidak mahu sumber alam, terutama sumber air diancam. Masyarakat Orang Asli ini juga menuntut pemilikan ke atas tanah adat mereka dan mahu kawasan tersebut terpelihara dari pembalakan.

Namun kerajaan negeri menganggap anggota masyarakat tersebut yang berjumlah hanya 10,000 orang sahaja di Kelantan tidak sepatutnya menuntut kawasan lebih luas.

MB: Sepatutnya tanah Orang Asli sudah memadai

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada awal minggu ini menyatakan bahawa tanah seluas 973 hektar sudahpun diwartakan sebagai tanah rizab untuk masyarakat tersebut. Tegasnya keluasan tanah itu sepatutnya sudah memadai.

Selain itu, tanah seluas 19,000 hektar lagi turut diwartakan untuk kawasan rayau Orang Asli, katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Jika laporan Harakahdaily pada 20 Oktober dijadikan sandaran, tanah berkeluasan 973 hektar itu dipercayai merujuk kepada kawasan di Pos Gob yang merupakan salah satu kawasan blockade Orang Asli.

Menurut laporan lidah parti PAS itu, tanah seluas 164,729 hektar sudah diwartakan untuk rizab Orang Asli manakala 2,238 hektar lagi sedang diluluskan.

Jumlah keluasan tanah di Gua Musang dan Jeli yang diluluskan untuk rizab Orang Asli adalah 388,539 hektar, kata timbalan menteri besar, Datuk Mohd Amar Abdullah seperti dipetik dalam laporan itu.

Apa yang tidak dijawab oleh kerajaan negeri adalah pencemaran sumber air yang berlaku akibat operasi pembalakan.

Aktivis Orang Asli, Tijah Yakcopil berkata blockade berkenaan dilakukan kerana kerajaan negeri tidak menghiraukan keadaan mereka yang benar-benar tersepit.

“Orang Asli sudah terlampau menderita dengan apa yang berlaku akibat pembalakan yang (kerajaan negeri) sendiri berikan lesen.

“Mereka kata orang lain hasut, jadi batu api. Adakah mereka sedar bahawa ini adalah satu penghinaan kepada Orang Asli?” soal Tijah yang juga aktivis Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia.

‘Anggap Orang Asli bodoh’

Ketika pihak berkuasa bertindak merobohkan blockade dan menahan aktivis Orang Asli pada minggu lalu, media PAS tanpa membuang masa menyiarkan laporan kononnya individu yang ditahan merupakan orang luar.

Seramai 54 orang ditahan dalam operasi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan pasukan polis yang turut merobohkan struktur binaan dan sekatan di blockade Pos Petei dan Pos Bihai.

“Mereka anggap Orang Asli ini bodoh dan tidak ada fikiran,” kata Tijah lagi yang kecewa kerana PAS lebih berminat untuk menyatakan bantahan terhadap dakwaan kekerasan oleh kerajaan Myanmar ke atas warga Rohingya.

Tidak hairanlah, warga Temiar berkenaan kini berazam untuk membina lebih banyak sekatan di kawasan hutan simpan tersebut.

Aktivis Orang Asli Kelantan, Azmi Badun dilaporkan berkata, mereka akan membina sekurang-kurangnya tujuh lagi sekatan baru.

Menurut laporan media tempatan hari ini, warga ini sudahpun mengumpul buluh, kayu dan rotan untuk membina sekatan tersebut. Antara lokasi yang dikenalpasti adalah di jalan menuju ke Pos Balar dan Pos Hau.

Pemerhati hak asasi melihat langkah mendirikan blockade tersebut sebagai usaha yang wajar kerana ia adalah usaha terakhir yang mampu dilakukan.

Bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Muhammad Sha’ani Abdullah menyebut, masyarakat Orang Asli telah berulangkali merayu dan mengemukakan memorandum bagi menuntut hak ke atas tanah adat mereka.

Namun, sehingga kini tiada kawasan tanah di Negeri Kelantan diisytiharkan sebagai rezab Orang Asli sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Orang Asli 1954, katanya.

“Tindakan pilihan akhir blockade secara aman adalah tindakan wajar dan keabsahannya hanya boleh ditentukan oleh mahkamah,” katanya seperti dikutip dalam portal Malaysia Dateline.

Comments

comments