Anak kecil menangis dalam penerbangan, apa nak hairan?

FOKUS | Salhan K Ahmad

Kisah satu pasangan muda yang menghadapi kesukaran ketika membawa anak kecil mereka semasa menaiki penerbangan domestik mencetus kontroversi di media sosial minggu ini.

Ia berpunca dari tindakan satu laman popular di Facebook yang menokok tambah cerita mengenai insiden dalam penerbangan berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan pasangan tersebut.

Isunya, mood anak kecil pasangan muda ini tidak berapa baik ketika pesawat baru berlepas. Pasangan tersebut puas berusaha untuk mententeramkan anak mereka tetapi gagal.

Sambil bertempik dan berteriak, anak itu menuntut untuk dibenarkan “berjalan” dan supaya “lampu dipasang”.

Si bapa, Zaril Abu Zainal kemudian bertindak membawa anak tersebut berjalan di lorong antara tempat duduk untuk memujuk anak mereka – walau isyarat memakai tali keledar masih dipasang.

“Kami membawanya ke bilik air dan mengalihkan tumpuannya pada bekas sabun dan air, kemudian dia tenang tidak lama selepas itu.

“Ia sememangnya satu mimpi buruk yang biasa dialami oleh setiap ibu bapa yang berjalan dengan anak kecil,” kata si ibu, Haiza Razali di Facebook.

Dengan penuh kesal, beliau turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami penumpang dalam penerbangan AirAsia AK8715 pada hari itu.

Ibu muda tersebut mengakui bahawa anaknya, berteriak sekuat hati antara 20 hingga 30 minit. Pada saat itu, beliau berasa seolah-olah anak lelakinya itu tidak akan berhenti meragam.

Namun mereka tidak puas hati apabila muncul laman Facebook yang menokok tambah cerita tersebut dengan pelbagai fakta tidak benar.

Tulisan di laman Facebook Kak Hassanah pada 31 Mei antara lainnya mendakwa anak tersebut tenang selepas didukung dan dibacakan doa oleh seorang individu.

Perkara itu dinafikan sama sekali oleh Haiza dalam penjelasannya di Facebook, dua hari kemudian.

kak hassanah post“Tak ada sesiapa datang baca (doa) kepada Dean2. Malah, tiada siapa yang mendukungnya sehingga tertidur,” kata Haiza yang menafikan dakwaan dalam laman Kak Hassanah.

Ketika tulisan ini dikarang (6 April), laman Facebook Kak Hassanah – yang mendapat perhatian puluhan ribu pengikut – tidak lagi dapat diakses.

Terdahulu, pengendali laman tersebut memohon maaf dan mengakui bahawa tulisan berkenaan hanyalah “tulisan imaginasi”.

“Semua yang dikata oleh ibu bapa tersebut adalah benar,” kata pengendali laman Kak Hassanah, sebelum menyekat akses pengunjung umum ke laman berkenaan.

Zaril dan Haiza pula, dengan berlapang dada menerima penjelasan pengendali laman tersebut.

Kisah berkenaan sememangnya tidak patut timbul sama sekali. Ia tidak akan menjadi kontroversi jika pengendali laman Kak Hassanah tidak menyiarkan kisah fiksyen berkenaan untuk tatapan pengikut mereka.

Namun, kisah ini sarat dengan pengajaran buat warga pengembara.

Ada pemerhati yang menanggap isu ini dari sudut integriti dan berpendapat, isu berkenan tidak akan timbul jika dilapor dengan bertanggungjawab dan tidak menyimpang ke dimensi fiksyen.

Ada juga yang kesal dengan tindakan pengendali laman Kak Hassanah yang dianggap “menunggang agama” demi meraih populariti di media sosial.

Imej warak yang cuba ditonjolkan oleh Kak Hassanah habis punah ranah. Ramai yang bersimpati dengan pasangan muda ini. Sudahlah malu kerana anak meragam dalam pesawat, kisah mereka pula dijaja sebegitu rupa.

Bagi warga pengembara, kita wajar melihat isu ini dari sudut manusiawi. Isunya adalah anak kecil yang meragam ketika dalam penerbangan.

Apa yang perlu dihairankan?


Salhan K Ahmad pengendali KEMBARA.MY

Anda ingin menambah maklumat atau pandangan ke atas isu ini? Tinggalkan komen atau e-mel kepada kami ([email protected]).

Baca kandungan berkaitan:

10 perangai penumpang yang buat cabin crew menyampah

Nombor 5. Penumpang yang asyik minta tempat duduk dinaiktaraf  ke kelas lebih tinggi.

8 jenis orang yang anda tidak ingin temui di hostel kembara

Nombor 3. Yang tidak tahu adab dan bermesra sepuas-puasnya dalam bilik hostel yang dipenuhi penghuni lain.

Comments

comments