Airbnb kini halal, tak perlu lesen untuk kongsi kediaman

Oleh Salhan K Ahmad

Pasti ada pihak yang menarik nafas lega apabila kerajaan memberi reaksi positif untuk membenarkan platform kongsi rumah Airbnb beroperasi di Malaysia.

Kini, pemilik rumah kediaman boleh sewakan ruang kediaman mereka kepada pengembara tanpa rasa bimbang. Selagi tiada penipuan, kerajaan menganggapnya sebagai perkhidmatan yang sah mengikut undang-undang.

Kerajaan juga maklum bahawa pengembara tertarik dengan harga murah dan pengusaha khidmat kongsi rumah itu terikat dengan perjanjian dengan pengembara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab ketika ditemui baru-baru ini berkata aplikasi berkenaan tidak dapat disekat.

Lagi pula, aduan yang timbul mengenai perkhidmatan yang diperolehi melalui Airbnb juga rendah, tambahnya.

“Transaksi online kini sudahpun menjadi cara hidup masyarakat. Bagi kami, keutamaan adalah untuk mendidik pengguna mengenai tabiat mereka dalam talian.

“Apa yang lebih penting adalah mendidik pengguna supaya tidak ditipu,” jelasnya kepada KEMBARA.MY.

Kadar berbaloi, kepuasan tinggi

Sehingga kini, AirBnB berjaya menempatkan lebih 60 juta tetamu di lebih 34,000 bandar di lebih 191 negara.

Ia ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 2007 dengan mensasarkan pelanggan yang tidak dapat menempah penginapan di hotel.

Aplikasi ini membolehkan pelanggan mencari penginapan yang amat berbaloi. Sebagai contoh, satu apartmen berhampiran KLCC boleh ditempah pada kadar RM150 untuk satu malam.

Kadar ini jauh lebih murah berbanding kebanyakan hotel berhampiran.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada minggu lalu mengeluarkan kenyataan membenarkan operasi AirBnB di Malaysia.

Kementerian itu juga nampaknya tidak bercadang untuk perkenal lesen kepada tuan rumah yang menyewa dan mempromosi ruang kediaman mereka melalui platform Airbnb.

Apa yang masih samar pada masa ini adalah persoalan sama ada Airbnb sudahpun mengadakan rundingan dengan kerajaan berhubung kutipan cukai.

Di Paris, pihak berkuasa perbandarannya dilaporkan berjaya mengutip 5.5 juta Euro (kira-kira RM25 juta) dari transaksi Airbnb. Lebih 30 kota lain sudah membuat rundingan dengan pengusaha platform itu dari segi kutipan cukai.

Namun tidak semuanya mudah. Di Berlin, kerajaan tempatannya mula menyekat Airbnb ekoran masalah perundangan tempatan.

Rungutan ke atas Airbnb sudah lama muncul dari industri pelancongan tempatan. Golongan yang terjejas secara langsung adalah pengusaha inap desa atau homestay yang diiktiraf oleh kementerian pelancongan.

Pengusaha ini perlu mengikuti kursus dan membayar yuran tahunan untuk membolehkan kediaman milik mereka.

Periuk nasi terjejas

Walhal, pemilik kediaman yang berdaftar dengan AirBnB boleh menyewa ruang kediaman mereka dengan mudah sebagai homestay tanpa perlu apa-apa lesen.

Seorang pengusaha agensi pelancongan, Mohd Faizul Zainul Abidin. Pengerusi syarikat Traverse Asia ini dapat melihat bagaimana aplikasi dalam talian menjejaskan periuk nasi pengusaha sepertinya.

Baginya, AirBnB sama seperti aplikasi agensi online (OTA) seperti Agoda, Traveloka dan Booking yang memberi jalan pintas kepada pelanggan.

Ketika beliau menubuhkan syarikat tersebut pada 2006, pelanggan bisnesnya terdiri daripada pengusaha hotel yang mencari pelanggan melalui ejen pelancongan sepertinya.

Namun, hotel berkenaan kini dapat mencari pelanggan sendiri melalui aplikasi online.

“Kalau dulu, mereka akan cari kami. Tapi sekarang, mereka boleh ikut jalan pintas, mereka boleh dapatkan booking online,” kata Faizul yang juga setiausaha kehormat MATTA Selangor.

Beliau menjangka, Airbnb akan memberi kesan kepada pengusaha pelancongan tempatan.

“Konsepnya sama seperti Agoda yang mana harga (untuk penginapan) yang mereka perolehi lebih murah dari apa yang pengusaha perolehi dari sesetengah hotel,”

Sebelum menghalalkan Airbnb, kerajaan membuat keputusan sama dengan membenarkan perkhidmatan prebet sapu Uber dan Grab. Kerajaan kemuka alasan sama – mengutamakan pengguna yang mementingkan mutu perkhidmatan.

Kalangan pemerhati melihat langkah tersebut sebagai keputusan yang begitu “berani” kerana pemandu dan pengusaha teksi membentuk 40,000 pengudi di Malaysia.

Namun setakat ini belum dapat dipastikan sejauh mana pengusaha homestay dan inap desa yang berdaftar dengan kementerian akan terjejas apabila Airbnb digunakan secara meluas di Malaysia.


EDITOR KEMBARA.MY

Amati dunia luar melalui liputan kami ke atas isu alam, latar geografi, budaya masyarakat, peralatan kembara dan gaya hidup aktif.

Anda ingin menambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tinggalkan komen atau hubungi kami ([email protected]).

Comments

comments