Adakah anda bahagia? Soalan ini buat kami berasa sayu di India

TRAVELOG | Kembara Memburu Hikmah

Oleh Ahmad Mohd Isa

Ketika mula-mula masuk ke India, hati kami berdebar lain macam. Berbagai-bagai cerita yang kami dengar tentang India.

Tetapi selepas sekian lama di sini, apa yang kami dengar itu hilang satu persatu. Secara peribadi, saya tidak suka masuk ke bandar-bandar yang sesak.

Mungkin kerana banyak cerita tidak enak yang saya dengar. Tapi bila masuk kampung, tak kisahlah di negara apa pun, orang tempatan agak peramah dan suka membantu.

Pada 26 Ramadan, hari ke-106, kami menginap di sebuah kampung terpencil di Barauni, di daerah Begusarai di Bihar.

Dari Kolkata, perjalanan ke sini meliputi jarak kira-kira 500 kilometer. Bandar Barauni terletak di tepi tebing sungai Ganga.

Perjalanan dengan keretapi akan memakan masa 15 jam. Dengan berbasikal, kami mengambil masa 10 hari untuk tiba di Barauni selepas menaiki penerbangan dari Yangon, 21 Jun lalu.

Julai 18 bersama penduduk kampung 2

Dikerumun orang kampung

Kami tiba di kampung ini pada masa yang salah. Malam sudah larut, pada jam 11 baru kami sampai.

Kami memutuskan untuk mengayuh basikal dalam gelap. Kami tutup semua lampu dan tidak bercakap bahasa Melayu, takut orang tempatan tahu bahawa kami pelancong asing.

Kami mengayuh dalam gelap dengan bantuan cahaya bulan. Hujan juga turun renyai-renyai. Anjing menyalak, lembu dan kerbau mendengus apabila kami melintasi mereka.

Dalam keadaan gelap dan hujan itu, kami cuba membuka aplikasi Google Map untuk mencari masjid untuk menumpang berteduh.

Pada masa itu juga, telefon bimbit kami padam – habis bateri. Di tengah-tengah kampung di pedalaman itu, kami mati kutu.

Tiga, empat ekor anjing menyalak dan mengikut kami dalam gelap. Sepanjang perjalanan ini, sudah beratus-ratus kali kami dikejar anjing. Kami tahu anjing ini hanya menyalak dan tidak menggigit. Kami kayuh macam biasa.

Orang kampung terbangun dan menyuluh lampu ke arah kami sebab bunyi salakan anjing yang tidak henti-henti. Selepas itu barulah anjing-anjing ini berhenti menyalak.

Kami tiada pilihan lain. Masjid tidak ditemui, lalu khemah dipasang. Dari kejauhan, kami melihat sinaran lampu yang dibawa orang kampung menuju ke arah kami.

Derap tapak kaki menunjukkan jumlah yang ramai sedang mendekati kami.

© Kembara Memburu Hikmah

Jaga lembu ke jaga kita?

Lapar mengatasi rasa mengantuk. Adilah dengan tabah memasak cekodok dalam keadaan hujan.

Sedang Adilah leka memasak, datang pula dua orang remaja. Tanpa bertegur sapa, mereka terus berbaring di sebelah khemah kami.

“Abang, diorang buat apa kat sini”

“Entah, jaga lembu kot”

“Jaga lembu ke jaga kita?,” soal Adilah dengan bersangka baik.

Aku masih cuba menahan mata untuk melihat apa yang mereka lakukan. Kami juga menunggu waktu subuh kerana jam sudah menujukkan pukul 2.30 pagi. Azan akan berkumandang jam 3.30 pagi.

Setelah mendengar dengkuran mereka, dan selepas kami habis solat Subuh, kami pun tertidur.

Kami terjaga selepas mendengar perbualan org tempatan di sekeliling khemah kami.

Kami buka khemah. Beberapa orang mencangkung di depan khemah untuk melihat makhluk apa yang bakal keluar dari dalam gua berwarna oren ini.

“Namaste everyone!”

© Kembara Memburu Hikmah

Projek duit raya untuk warga daif India

Kehadiran kami di kawasan pedalaman ini menjadi tarikan sehingga seluruh penduduk kampung datang melawat, tak putus-putus.

Kata mereka inilah kali pertama pelancong datang ke kampung mereka.

Kadang-kadang kami sampai tidur lambat melayan kerenah mereka. Selagi pintu tidak ditutup, selagi itu mereka duduk di depan muka kita.

Mereka tidak bercakap apa-apa, hanya tengok muka kami. Waktu pagi bila kami buka pintu, semuanya meluru masuk untuk lihat apa yang kami buat.

Macam-macam yang mereka beri; tempat tidur, makanan berbuka, makan malam, sahur. Kami tidak tahu bagaimana untuk membalas budi mereka.

Untuk membalas budi mereka, akhirnya kami memutuskan untuk meraih sumbangan untuk disalurkan kepada keluarga yang miskin di sini melalui #ProjekDuitRayaIndia.

© Kembara Memburu Hikmah

Adakah kami bahagia?

Seminggu sebelumnya, kami tiba di Panagarh. Di sini, layanan yang kami terima juga sangat meriah.

Di sini, kami diasak dengan pertanyaan penting yang kami tidak jangkakan.

Kami turut dijamu dengan teh tarik, nasi beriyani. Anak muda ini begitu murah hati.

Aku dibawa ronda keliling kampung dengan bermotosikal dan kemudiannya mereka melepak bersama di tengah lebuh raya untuk menatap bintang,

Kemudian, salah seorang daripada mereka mengajukan soalan cepu emas – are you happy? Adakah kami bahagia?

Anak muda ini benar-benar ingin berkongi kebahagiaan bersama-sama mereka.

Secara tiba-tiba, kami berasa sedih. Kami terkenang semula sikap kita melayani rakyat Nepal, Bangladesh, Myanmar di negara kita sendiri.

© Kembara Memburu Hikmah

Layanan istimewa di Burdwan

Begitu juga keadaannya ketika kami tiba di bandar Burdwan. Kami tiba di sini pada 22 Ramadan dan disambut dengan kumpulan remaja yang bersungguh-sungguh melayan tetamu.

Kami tiba di Masjid Jamek Burdwan 15 minit sebelum berbuka. Kami perkenalkan diri dan dalam 15 minit selepas itu kami sedar bahawa semuanya sudah tersedia, termasuk tempat tidur.

Belumpun habis makanan berbuka, datang pula lauk untuk makan malam. Belumpun sempat jamah makan malam, makanan sahur pula sampai.

Kebanyakan penggiatnya adalah anak muda yang menuntut di University of Burdwan. Kami doakan mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Pada 7 Julai, jumlah yang terkumpul daripada sumbangan Rakyat Malaysia yang prihatin adalah sebanyak RM1,850 (IDR 30,000).

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada yang menyumbang. Semoa Allah melimpah-ruahkan rezeki anda di dunia dan akhirat.

Separuh daripada sumbangan untuk ‪#‎ProjekDuitRayaIndia‬ telah kami sumbangkan terus ke wakil madrasah dan keluarga miskin yang ditemui di India.

Separuh lagi akan kami sumbangkan di Nepal kerana kami kesuntukan masa di India, insya-Allah.


Pasukan Kembara Memburu Hikmah menyambut Syawal di Barauni, dalam negeri Bihar. Dari India, mereka meneruskan kembara ke Nepal.

Comments

comments