8 jenis orang yang anda tidak mahu temui di hostel kembara

PANDUAN

Ada juga yang tidak sanggup pulang ke dorm hostel apabila pengembara seperti ini mendaftar masuk.


Selain menjimatkan kos, penginapan di hostel memberi peluang kepada anda untuk berinteraksi dan bertukar maklumat dengan pengembara lain.

Tempat seperti ini memberi peluang untuk pengembara mempelajari budaya satu sama lain dan bertemu rakan baru yang seterusnya menjadi sahabat.

Anda boleh mengajak atau menyertai mereka untuk berkongsi kos aktiviti seperti pakej menyelam SCUBA, sewa bot, mendaki gunung atau naik belon udara panas.

Biasanya, kos aktiviti ini lebih murah apabila dikongsi dalam kumpulan. Sebab itulah anda boleh melihat ramai pengusaha pakej membuka kaunter dekat hostel kembara.

Penginapan seperti ini boleh dicari melalui laman seperti hostelworld.com, hostelbookers.com atau booking.com. Anda boleh mengkhususkan carian mengikut destinasi, harga dan juga penarafan dari pengembara lain.

Anda boleh memilih hostel yang menyediakan dorm khusus mengikut jantina dan ada juga hostel yang tidak membezakan jantina.

Namun tidak semua pengembara suka tinggal di hostel. Ada juga yang tidak sanggup pulang ke dorm hostel apabila pengembara seperti ini mendaftar masuk:

1. Tidak gemar mandi. Anda tidak boleh lagi bezakan sama ada tempat tersebut adalah sebuah hostel kembara atau sebuah zoo.

2. Bising. Pengembara seperti ini juga berpendapat semua orang di dalam bilik hostel tersebut ingin mendengar lagu terbaru beliau, dengan iringan ukulele, pada jam 4 pagi.

3. Tidak tahu adab. Anda tahu maksudnya jika pernah melihat pasangan yang bermesra tanpa segan silu, sepuas-puasnya, dalam bilik hostel yang dipenuhi penghuni lain.

4. Yang berjalan mundar-mandir dalam dorm dengan hanya memakai sependa.

5. Pengotor. Sisa makanan, pakaian busuk dibiar bersepah-sepah di merata-rata tempat dalam dorm.

6. Gatal. Pengembara jenis ini menggunakan peluang di hostel untuk berkenalan dengan orang asing untuk mengambil kesempatan.

7. Paranoid. Tidak mempercayai sesiapa, enggan bertegur sapa.

8. Yang tahu segala-galanya. Setiap minit, orang jenis ini akan goyangkan jari telunjuk dan beritahu 12 kesalahan yang anda lakukan semasa mengembara.


Senarai ini berdasarkan temubual dengan beberapa orang pengembara Malaysia. Mereka pastinya akan tinggal di tempat seperti ini lagi, jika tidak perlu berjumpa lapan jenis individu tersebut.

Anda ingin berkongsi pengalaman di dorm hostel? Silakan tambah di ruang komen atau kirimkan e-mel kepada kepada kami ([email protected]).

Comments

comments