Sudah jadi macam Broga, ratusan daki Gunung Pulag setiap hujung minggu

Pada waktu pagi, suhu di puncak tertinggi di pulau Luzon, Filipina ini boleh mencecah paras beku, kata Aizul Manan, seorang anggota HACAM.

Beliau mengumpamakannya seperti pemandangan dari Bukit Broga “yang diberi steroid”.

“Berpuluh-puluh gunung berlipat diselimut awan waktu matahari terbit,” katanya ketika mengamat semula pengalaman itu.

Puncak Gunung Pulag pada ketinggian 2,922 meter menjadi titik sempadan tiga wilayah di Luzon – Benguet, Ifugao, dan Nueva Vizcaya.

Sarannya, datanglah pada hari kerja kerana pada hujung minggu, Gunung Pulag menerima kunjungan sehingga 700 orang sehari, terutama dari warga tempatan.

Perjalanan Aizul ke Gunung Pulag mengambil masa dua hari bermula dari Manila dan melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM500.

Dari Manila, beliau terlebih dahulu menuju kota Baguio dengan perjalanan bas sehingga 7 jam pada waktu malam.

“Ambil bas Victory Liner di Terminal Pasay. Jadual perjalanan setiap satu jam. Elok ambil bas dalam pukul 10 malam supaya boleh sampai ke Baguio dalam anggaran pukul 5 atau 6 pagi,” pesan Aizul.

Dari Baguio, beliau meneruskan perjalanan dengan teksi ke terminal Baguio Central Market dan kemudiannya satu lagi bas ke Kabayan dalam wilayah Benguet.

Benguet popular sebagai tapak bersejarah. Pelbagai gua di kawasan kampung di sini menyimpan pelbagai mumia Kabayan.

Kawasan ini tersenarai dalam World Monuments Watch – satu program untuk merakam tapak bersejarah yang memerlukan dana untuk perlindungan dan pemuliharaan.

Aizul memulakan trek dari Ambangeg melalui rentis ke Babadak. Beliau mengira, perjalanan itu agak mudah dengan mengambil masa sehingga lima jam sahaja.

Beliau berkhemah di Saddle Campsite dan meneruskan perjalanan ke puncak untuk menikmati pemandangan ini pada hari kedua.

Comments

comments