3 petua penting untuk berbasikal jarak jauh

Kayuhan yang selesa adalah kunci kepada segala-galanya, tidak kiralah jika kayuhan itu meliputi jarak lebih 150 kilometer setiap hari atau hanya untuk beberapa puluh kilometer sahaja pada hujung minggu.

Ada pengembara yang dapat meliputi jarak sehingga beribu-ribu kilometer dengan hanya menggunakan basikal buruk yang berharga beberapa ratus ringgit sahaja.

Ada pula yang menggunakan basikal lumba berharga ribuan ringgit yang ringan, seperti seorang pemegang rekod dunia, Mike Hall. Atlet ini mengeliling dunia dalam masa 91 hari dan 18 jam dengan basikal lumba yang menggunakan komponen prestasi tinggi dan dipasang khas untuknya.

1. Elak rasa sakit, seksa

Adakah anda seorang atlet yang mengejar rekod dunia atau hanya ingin bersiar-siar sambil mengenal dunia dan menikmati bumi Tuhan? Apa pun tujuannya, pastikan anda selesa dengan basikal yang digunakan.

Pastikan saiz geometri basikal untuk pengembaraan itu sesuai dengan bentuk badan anda kerana ia akan menentukan kedudukan badan dan anggota tubuh ketika mengayuh.

basikal 2Kedudukan badan yang tidak betul akan menyebabkan bahagian tubuh seperti leher dan bahagian berlakang berasa sakit. Keadaan ini akan bertambah buruk apabila anda meneruskan kayuhan.

Ketika mengayuh jarak jauh, bahagian atas tubuh anda tidak banyak bergerak tetapi menerima banyak tekanan terutama di bahagian leher dan tangan.

Sentiasa bengkokkan tangan sedikit pastikan anda tidak mengunci siku supaya bahagian badan itu dapat bertindak sebagai penyerap hentakan.

Sekali-sekala, anda boleh regangkan otot dan tukar kedudukan tangan di hendal. Dari segi ini, hendal dengan bentuk drop bar dan butterfly lebih selesa kerana mempunyai lebih banyak tempat untuk dipegang.

Selepas lama duduk di pelana, anda boleh berdiri supaya punggung tidak kebas.

Banyak pengeluar basikal pada masa ini menawarkan model khusus untuk ekspedisi dan pengembaraan. Pastikan anda mencuba basikal tersebut terlebih dahulu sebelum membeli.

2. Latih diri, mula dengan jarak dekat

Sudah ramai yang mengayuh basikal di serata dunia, masing-masing dengan kisah dan tujuan mereka sendiri. Tetapkan destinasi, pilih masa yang sesuai dan berlepas mengikut keselesaan anda.

Sebelum pergi lebih jauh, mulakan dengan jarak dekat terlebih dahulu. Pastikan anda dapat mengendali basikal dengan selesa dan cekap memilih gear mengikut kelajuan dan bentuk muka bumi.

basikal 1Sekiranya anda bercadang untuk menjalankan ekspedisi dengan membawa banyak kelengkapan, ambil masa untuk menyesuaikan diri dengan membawa beban berkenaan sebelum memulakan ekspedisi.

Jika anda sudah mula mengayuh basikal dengan jarak dekat, cuba kayuh untuk jarak lebih jauh, sedikit demi sedikit. Anda akan dapat mengenalpasti keupayaan dan daya ketahanan diri.

Pada masa ini, anda mungkin akan mula mempersoalkan diri dan tujuan. Jika anda mengayuh lebih jauh, anda akan berasa lebih penat berbanding biasa dan mungkin mengalami kekejangan di bahagian otot tertentu.

Sebab itulah latihan kecergasan dan stamina perlu dilakukan sedikit demi sedikit dan bukannya dengan mendadak. Sesetengah jurulatih sukan berbasikal mendidik para atlet dengan meningkatkan intensiti antara 10 peratus hingga 20 peratus untuk setiap sesi latihan.

Selain mengayuh basikal, anda juga boleh meningkatkan kecergasan kardio dengan berlari dan berenang.

3. Makan, minum, rehat

Bunyinya memang klise, tetapi memang berkesan. Mulakan hari dengan sarapan yang memberikan banyak tenaga kerana anda benar-benar memerlukannya. Selain daripada menuruni cerun atau bantuan angin, tiada cara lain untuk maju ke hadapan selain daripada kudrat anda sendiri.

Selepas mengayuh sekian jauh, pastinya anda akan berasa lapar dan dahaga, percayalah. Pilih laluan yang memberi anda peluang untuk menikmati makanan kegemaran atau untuk mencuba makanan baru.

Pastikan juga anda membawa bekalan air dan bekalan makanan yang memadai. Luangkan masa untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Jika anda mengayuh basikal di kawasan pedalaman, anda akan dapati masyarakatnya peramah dan sedia mengesyorkan tempat makan sedap yang tidak diketahui ramai orang.

Anda pastinya akan tidur nyenyak pada waktu malam. Rehatlah secukupnya, malah anda juga boleh meluangkan beberapa hari untuk berehat sebelum meneruskan kayuhan.

Baca seterusnya: Apa yang perlu dibawa? Panduan untuk pengembara berbasikal


Anda ingin menambah maklumat ke dalam tulisan ini? Tulis ulasan anda di ruangan komen.

Foto oleh The Basikal, kedai basikal yang menjual peralatan dan menyediakan khidmat untuk pengembara berbasikal.
Laman Facebook: The Basikal
Alamat: No. 90, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.
Telefon: 012-645 9560

 

 

Comments

comments